Malam ini aku dapat mendalami melankoli kehidupan seorang Soe Hok Gie. Penuh pengharapan bahawa pemimpin negara yang dilihat semakin menekan bangsanya sendiri agar digantikan dengan seorang pemimpin yang adil dan bertanggungjawab. Pergantian itu akhirnya berlaku tetapi keadilan yang diimpikan tidak juga muncul, malah lebih banyak kezaliman yang berlaku.
Aku sendiri dapat menyelami jiwanya. Mengharapkan perubahan yang baik, tetapi nampak seolah-olah mereka yang ingin menggantikan kepimpinan yang ada itu sama tamak kuasa, sama rasis, berpura-pura menolong golongan yang miskin semata-mata ingin meraih undi. Aku belum nampak keikhlasan sesiapa pun di mana-mana pun parti politik yang ada di negara ini.
Maka apakah akhirnya negara ini akan turut merudum sepertimana negara yang Gie diami dan cintai? Yang korupsi meresap di segenap lapisan masyarakat sehingga menjadi suatu budaya yang sukar dipisahkan lagi? 
Beliau berjalan seorangan sambil menyandang beg bukunya ke mana sahaja beliau pergi. Buku-buku dan alam menjadi inspirasi bagi tulisan-tulisan perjuangannya. Aku merasa kerdil berbandingnya. Pastinya pengetahuannya begitu luas dan penguasaan bahasanya begitu hebat untuk bisa berjuang demi masa depan negaranya. Terasa tidak layak untuk berkata apa-apa di alam maya mahupun di alam nyata.

Seperti kata Orchida Ramadhania daripada Universitas Indonesia:

“Saat ini….semua mulut dan jari bersuara, padahal entah buku-buku apa yang mereka baca. Dulu, yang dimusuhi adalah orang-orang visioner dan punya gagasan. Saat ini, hanya dengan olok-olok pada pemerintah seperti ‘kecebong’, atau posting kata dan gambar vulgar lainnya, sebagian orang sudah merasa paling berani dan revolusioner.”

Aku cukup terusik dengan kata-kata itu, nampak benar aku tidak cukup ilmu untuk berjuang tentang apa pun; biarpun soal kesihatan, agama, apa lagi untuk kekuatan bangsa. Yang aku mahir cuma mungkin soal patah hati sambil cuba hidup kembali!
Menonton filem Soe Hok Gie, aku tidak dapat memberi komentar sebaiknya, kerana aku bukan seorang yang biasa menonton filem, apa lagi filem sejarah seperti ini. Aku belum lagi membaca buku catatannya, dan kisah hidupnya sendiri aku baca di internet sahaja, maka sukar untuk ku katakan mana yang benar atau salah. Tapi dapat aku katakan bahawa Gie penuh dengan sifat kemanusiaan, penyayang kepada semua. Gambaran Gie membantu seorang tua berbadan kecil melintas jalan masih terbayang di mataku. Rasa bersalahnya terhadap kebangkitan militer yang akhirnya mengorbankan temannya sendiri dapat aku selami daripada ekspresi wajahnya.
 
Lakonan Nicholas Saputra ternyata begitu berkesan, hilanglah Rangga yang kita kenali. Gie ternyata lebih banyak tersenyum berbanding watak Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta. Jika melihat usianya ketika memerankan watak Gie, Nicholas juga pada ketika itu sedang kuliah di Universitas Indonesia dalam bidang arkitektur, memang cocok dengan usianya. Semakin jauh kisah ini dibawa, semakin convincing wataknya.
Pada akhirnya aku lihat Han dan Gie bermain di pantai, suatu simbolik yang membuatkan aku mengalir air mata. Puisi yang dibacakan pada penghujung filem dengan suaranya yang sudah hampir matang sepenuhnya memang amat meruntun hati, teresak-esak pula aku menangis walaupun aku sudah tahu bagaimana kesudahan hidupnya.

Kita pastinya perlukan ramai anak muda seperti Gie. Di Indonesia, di Malaysia, malah banyak tempat di dunia ini. Berilmu, dan berani menentang kemungkaran biarpun disisihkan oleh insan lain.
* * *
Puisi nukilan Soe Hok Gie bacaan Nicholas Saputra dalam filem Gie:

Puisi oleh Soe Hok Gie

Advertisements