Persediaan Rohani

Untuk memastikan kejayaan bagi sesuatu yang kita lakukan, pasti ada beberapa perkara yang perlu kita capai. Dalam perkara berkaitan umrah dan ziarah, hal ini termasuklah persediaan rohani, bagi memastikan kita menggunakan peluang berada di tanah suci Makkah digunakan sepenuhnya. Antara perkara-perkara yang bermanfaat untuk seseorang yang menziarahi dan mengerjakan umrah adalah seperti berikut:

(1) Mempelajari pengertian umrah,  fadhilat, serta hukum-hukum dalam umrah. Saya pasti kebanyakannya disentuh dalam kursus umrah atau buku panduan umrah.

(2) Mencari ilmu tentang keistimewaan kota-kota Makkah dan Madinah, serta Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

(3) Mempelajari dan mendalami sejarah hidup Nabi Muhammad SAW agar dapat menghayati setiap pengalaman berada di kedua-dua kota suci Islam ini.

Saya sangat menggemari ceramah-ceramah daripada Sheikh Dr Yasir Qadhi, yang dahulunya belajar di salah satu universiti tersohor di Arab Saudi iaitu di Universiti Islam Madinah. Sebelum itu beliau telahpun mendapat ijazah daripada Universiti of Houston di Texas, Amerika Syarikat dalam bidang kejuruteraan kimia.

Berikut adalah ceramah pertama daripada 104 ceramah beliau dalam siri “Seerah of Prophet Muhammad SAW”, yang boleh ditonton percuma melalui YouTube:

Seerah of Prophet Muhammad SAW: Part 1

(4) Mempelajari tentang solat-solat sunat yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW seperti solat witir, solat tahajjud, solat dhuha, solat rawatib dan lain-lain seperti solat taubat, tahiyyatul masjid. Juga mempelajari cara-cara solat jenazah (sebenarnya agak mudah), supaya tidak kehilangan peluang untuk meraih ganjaran yang besar daripada Allah SWT, dan yang penting sekali, solat jenazah mampu mengingatkan kita tentang dekatnya kematian.

Saya sendiri suka merujuk kepada blog berikut:

Shafiqolbu – Solat Sunat Rawatib

Kita tidak perlu membawa buku solat sunat (boleh bawa jika anda mahu), boleh screenshot sahaja doa-doa dalam blog ini dan buka saat diperlukan.
Dalam blog tersebut ada panduan macam-macam lagi jenis solat sunat termasuk solat istikharah.

(5) Menyenaraikan matlamat kita semasa di tanah suci nanti. Kadangkala kita terleka dengan curiosity/rasa ingin tahu – nak tengok semua bahagian dalam Masjidil Haram, nak tengok kedai-kedai di sekeliling masjid, nak rasa nasi Arab paling sedap, nak beli tamar untuk saudara-mara, nak beli jubah style Dubai, nak jalan-jalan dan macam-macam lagi nak. Sebenarnya apa yang kita inginkan, itu yang Allah beri. 
Sepatutnya wang dan masa yang telah dilaburkan itu digunakan hanya untuk satu tujuan: mendapatkan keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Memang membeli hadiah apabila bermusafir itu adalah sunnah Nabi Muhammad SAW, tetapi yang lebih utama adalah ibadah. Membeli belah boleh dilakukan kemudian, kerana kedai-kedai di keliling masjid itu sama sahaja semuanya. Lakukan solat istikharah sebelum shopping, insyaaAllah dapat membuat pilihan terbaik dalam masa yang singkat, dengan syarat yakin kepada Allah SWT.
Berbalik kepada matlamat. Mungkin anda sudah lama mahu menghafaz surah Yaasin tetapi tidak pernah memulakannya; di mana lagi tempat yang paling hebat kalau tidak di tanah haram? Atau anda mahu mulakan solat tahajjud secara istiqamah; mulakan di rumah dan sambung di tanah haram. Mahu merasa iktiqaf di masjid, tetapi tidak pernah berkesempatan kerana kesibukan kerja? Mulakan di Masjid Nabawi, atau di Masjidil Haram.  
Tuliskan senarai matlamat-matlamat ibadah yang ingin anda capai semasa berada di kota-kota suci ini. Doakan yang anda akan mencapainya. 

(6) Antara cara-cara untuk memudahkan bangun awal untuk solat tahajjud adalah banyakkan membaca Al Quran pada waktu siangnya. Kurangkan perkara-perkara yang lagha seperti menonton tv/wayang ataupun mendengar muzik, banyakkan berselawat dan berzikir, tidur dengan niat untuk solat tahajjud pada keesokan harinya. Selain itu, tidur awal pada waktu malam dan qaylulah pada waktu sebelum zohor juga insyaaAllah boleh membantu.

(7) Ustaz yang mengajar ketika salah satu kursus umrah berkata, seeloknya mulakan solat taubat dan tahajjud di rumah lagi, supaya perjalanan dan ibadah kita lebih dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Persediaan Fizikal

(1) Pastikan tekanan darah dan tahap gula dalam keadaan yang baik. Sekiranya sebelum ini tidak terkawal, mungkin anda akan memerlukan beberapa bulan untuk mengawalnya. Suasana dan pemakanan semasa bermusafir adalah tidak menentu, maka lebih mudah untuk mendapat komplikasi penyakit. 

Minta doktor anda menulis senarai masalah penyakit anda, supaya mudah jika terjadi sebarang kecemasan. Tidaklah doktor di Saudi nanti terkial-kial bertanya kepada anda.

(2) Jika anda mempunyai penyakit yang memerlukan ubat setiap hari (seperti kencing manis, darah tinggi, asthma, SLE), bawa ubat cukup untuk sebulan (walaupun anda cuma pergi 10 hari). Bahagikan dan letak dalam beberapa beg berasingan, termasuk dalam beg check-in anda. Harga ubat di Arab Saudi agak mahal. Lagipun pasti anda tidak mahu jatuh sakit di sana.

(3) Bawa bekalan ubat-ubat seperti panadol, ubat selsema yang tidak menyebabkan mengantuk, ubat sembelit, ubat gastrik, ubat cirit-birit sebagai standby. Berbincang dengan doktor anda tentang apa yang mungkin anda perlu.

(4) Lain-lain keperluan seperti losyen pelembap (contohnya Vaseline) kerana cuaca di sana kering, pelindung UV, krim untuk mengelakkan tumit pecah. Krim-krim ini boleh dipakai ketika dalam ihram.

Saya beli botol-botol ini di Watsons. Saiznya 50mL. Kualitinya bagus. Saya bawa vaseline lotion (kiri) dan minyak zaitun (sebelah kanan), langsung tidak tumpah dalam perjalanan, alhamdulillah.
Krim ini telah dicadangkan oleh seorang mutawwif daripada satu lagi kumpulan. Saya sendiri tidak menggunakannya, tetapi menurut mereka, gunakan di kaki untuk mengelakkan pecah-pecah yang kadangkala agak serius. Mereka beli di farmasi di Makkah/Madinah.
(5) Beberapa kaedah melegakan masalah-masalah kesihatan/kulit tanpa memerlukan ubat (sekiranya tidak serius):


Minyak zaitun – untuk merawat tumit yang sudah pecah sedikit, serta mengelakkan dan merawat kulit kering. Gunakan yang asli (extra virgin atau virgin olive oil yang selalunya digunakan untuk memasak), bukan yang dicampur dan dilabel sebagai barangan kosmetik. Memang Nabi Muhammad SAW pernah berpesan supaya menyapu minyak zaitun di seluruh tubuh.


Madu – Makan sekurang-kurangnya satu sudu besar setiap hari untuk melegakan batuk atau selsema. 


Madu+air suam – Campurkan satu atau dua sudu besar madu dengan secawn air suam untuk melegakan sembelit. Boleh juga diamalkan setiap hari untuk kesihatan


Air zam zam+doa – Khasiat air zam zam adalah mengikut niat orang yang meminumnya. Sebelum minum air zam zam, baca bismillah, berdoa dengan apa yang kita hajati (contohnya kuat ingatan, sihat tubuh badan, tambah tenaga, kurangkan sakit tekak atau selsema), kemudian minum. Pastikan anda yakin dengan apa yang anda doakan. Kadangkala dapat terus apa yang didoakan, dan selalunya Allah beri petunjuk tentang apa yang harus dilakukan untuk mencapai perkara yang kita doakan itu (bukan semua benda boleh sapat sekelip mata, perlu usaha daripada kita juga).


Kurma – bagus untuk legakan sembelit, tambahkan tenaga, tambah zat besi, alas perut sebelum qiyamullail.

(6) Anda akan banyak berjalan di sana. Tetapi letih kerana banyak berjalan di sana selalunya mudah diubati dengan rehat secukupnya di waktu malam. Saya berjalan secara purata 7,000 sehingga 24,000 langkah sehari semasa di Makkah (lebih kurang 3 hingga 13.6km).

(7) Tidur awal, sebolehnya jangan lagi bercakap-cakap atau berjalan-jalan selepas solat isya, supaya anda dapat bangun awal untuk ke masjid bagi menunaikan solat tahajjud. Nabi Muhammad SAW tidak menggalakkan kita berbual-bual lagi selepas solat isya’. Seeloknya terus tidur.
Sunnah Nabi Muhammad SAW juga untuk tidur pada waktu tengahari sebelum masuk waktu zohor (nama lainnya ‘qailulah’) supaya menyegarkan kita pada waktu petang, dan memudahkan bangun awal untuk tahajjud keesokan harinya.
(8) Jaga kesihatan semasa di sana. Minum air yang cukup (melainkan anda mempunyai penyakit yang dinasihati doktor supaya mengawal pengambilan air). Banyak tong air zamzam di dalam masjid. Tandas pun banyak (17,000 tandas di sekitar masjid), cuma tempatnya di luar.

(8) Biskut, roti dan minuman panas. Boleh bawa biskut dan minuman 3-in-1 daripada rumah, lebih-lebih lagi untuk alas perut sebelum qiyamullail (selalunya hotel menyediakan sarapan selepas solat subuh). Boleh juga makan kurma dan minum air zamzam. Semua barang makanan di atas (termasuklah mee segera) ada dijual di kedai runcit/supermarket berdekatan masjid, cuma harganya agak mahal, tambahan pula dengan nilai matawang kita yang tak seberapa.
(9) Dobi juga ada di sana. Boleh juga hantar pakaian ke dobi supaya dapat meluangkan lebih masa di masjid. Kalau cuci baju sendiri pun boleh, selalunya cepat kering (kecuali stokin/pakaian yang tebal).
Berikut adalah senarai harga bagi khidmat dobi yang kami gunakan:


Banyak juga barang-barang di atas dijual di tanah haram, cuma harganya mahal sedikit berbanding di Malaysia. Terpulang kepada anda untuk membawanya dari Malaysia atau membeli apabila ada keperluan.

Akhir kata, berdoalah sebanyak mungkin agar perjalanan dan ibadah anda dipermudahkan. Memang ada sesetengah agent umrah menipu tetapi banyak juga yang mereka sendiri terperangkap dalam kerenah berurusan dengan orang Arab. Masalahnya, terutamanya syarikat kecil, mereka sendiri mungkin tidak tahu bahasa Arab, yang di Arab Saudi sana pula tidak pandai berbahasa Inggeris. Banyak-banyak bersabar dan cuba memberi kerjasama dengan agent umrah anda. Berbincanglah dengan baik sekiranya anda tidak mendapat apa yang dijanjikan atau diiklankan. Mungkin agent anda juga tersepit di tengah-tengah.

Ziarah dan umrah merupakan masa untuk kita merenung diri sendiri, bukan menuduh orang lain itu dan ini. Kalau diizinkan Tuhan yang ada masalah dalam perjalanan, lihatlah balik ke dalam diri sendiri, apakah amalan kita sebelum ini? Bagaimana kita melayan insan di sekeliling kita? Adakah kita telah melanggar hak orang lain?  Ada harta yang kita tak patut ambil? Jangan pula memandang orang lain dengan soalan yang sama, kita hanya patut tanya diri sendiri. Pengajarannya memang pahit tetapi lebih baik sedar sekarang daripada sedar di alam barzakh atau di akhirat nanti.

Mungkin agent umrah kurang cekap menangani urusan-urusan mereka, tetapi adakah kita sendiri mampu melakukannya? 

Berdoalah. Jika anda tak mampu berfikiran positif atau bersangka baik dengan manusia lain, bersangka baiklah dengan Allah. 

Advertisements