Sambungan daripada bahagian 1:

Haramain: Beberapa Panduan (Bahagian 1 – Masjidil Haram)

Ibadah di Masjidil Haram

Selain daripada umrah dan haji, ada pelbagai inadah yang biasa dilakukan di masjid ini, contohnya:
(1) Solat rawatib

(2) Berdoa. Antara waktu afdal berdoa adalah antara azan dan iqamah. Selesai solat dua rakaat sebelum solat fardhu, banyakkan berdoa. Selepas solat fardhu, tidak ada zikir dan doa seperti di Malaysia. Yang ada hanya solat jenazah.

(3) Solat jenazah. Selalunya dilakukan tidak lama selepas solat fardhu. Bagaimanapun kalau di Masjidil Haram, tempoh antara solat fardhu dan jenazah adalah cukup-cukup untuk mengerjakan solat rawatib dua rakaat. Kalau mahu berzikir, tunggu hingga selepas solat jenazah, kerana di Malaysia kita jarang-jarang dapat buat, dan pahalanya adalah sebesar Bukit Uhud. Jadi rebutlah peluang ini, setiap waktu solat hampir pasti ada solat jenazah. Walaupun saya sendiri tidak pernah nampak jenazahnya, kesan pengajaran daripada kematian amatlah besar, terutama apabila membaca doa untuk mayat. 

Bagi yang lelaki, digalakkan mengikuti jenazah sampai ke kubur.

(4) Tawaf sunat. Menurut seorang ustaz yang mengajar kami, tidak perlu lakukan umrah berulang-ulang kali, cukuplah satu umrah wajib dan satu umrah badal. Yang pentingnya kita cuba melakukan tawaf sunat sebanyak mungkin. Tawaf sunat ini menggantikan tahiyatul masjid.

(5) Beriktiqaf di masjid. Mencari keredhaan dan keampunan Allah adalah lebih penting daripada mencari kedai baru atau cenderamata baru untuk dibawa pulang ke tanah air. Ketika beriktiqaf lakukanlah ibadah-ibadah (mengikut waktunya) seperti solat taubat, solat tahajjud, solat witir dan solat dhuha.

Panduan Dalam Masjidil Haram
Masjidil Haram merupakan masjid terbesar di dunia. Arsitekturnya hampir-hampir simetri menyebabkan terlalu ramai yang tersesat. Lebih-lebih lagi sekarang mereka sedang mengubahsuai beberapa bahagian.
(1) Ingat pintu mana anda masuk, dan carilah pintu itu ketika anda hendak keluar. Pintu-pintu masjid ada nama dan nombor masing-masing, manakala di tenpat sa’ie ada nombor pintu. Tangga bergerak juga ada nama.

(2) Disebabkan jemaah yang terlalu ramai, pihak pengurusan Masjidil Haram akan menutup pintu sekiranya sesuatu bahagian itu telah sesak. Jadi anda terpaksa mencari pintu lain, lebih-lebih lagi jika terlambat ke masjid untuk solat fardhu.

Pintu yang masih boleh dimasuki tandanya begini:


Manakala pintu yang ditutup adalah begini:


Pengawal/polis/tentera akan menghadang laluan dengan pagar plastik, mereka tidak akan berkompromi dengan anda walaupun itu sahaja pintu yang anda tahu. Jadi carilah pintu lain yang terdekat. 

(3) Jika anda ingin duduk di mana anda suka, masuk melalui pintu yang anda biasa, datanglah sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardhu. Lebih dekat waktu solat, lebih ramai orang yang masuk. Kawasan dalam masjid sendiri pun akan ditutup sekiranya sesak. Saya sendiri tidak dapat menghabiskan tawaf sunat pada waktu sebelum subuh kerana pengawal telah mengarahkan kami keluar pada jam 5am (hari Jumaat). Maka terpaksalah saya sambung pada waktu lain.

(4) Tandas dan tempat wudhu’ hanya ada di luar masjid. Jika anda cuma perlu memperbaharui wudhu’ (tanpa perlu membersihkan diri di tandas), anda boleh gunakan botol spray seperti ini:


Botol ini hanya memuatkan 100mL air, dan saya telah menggunakannya sebanyak dua kali, airnya luak sedikit sahaja. Ini membuktikan yang kita hanya perlukan sedikit air untuk setiap kali wudhu’. Jadi walaupun kita ada banyak air, tak perlu gunakan air mencurah-curah (seperti hadith Nabi Muhammad SAW supaya berjimat walaupun mengambil wudhu’ dalam sungai yang mengalir).
(5) Sekiranya anda membawa orang tua, terutamanya yang mempunyai masalah ingatan, tuliskan nama hotel, nama pintu, nama ahli keluarga dan beberapa nombor telefon yang penting di belakang kad yang diberi oleh agensi umrah anda. Selalunya kad ini digantung di leher. Sekurang-kurangnya orang tua anda boleh bertanya orang lain tentang pintu masuk dan keluar, atau meminta tolong daripada jemaah lain. Jemaah Malaysia agak ramai, saya pasti ramai juga yang mahu membantu. 

(6) Hal-hal kasut. Di tepi jalan menuju ke masjid dan di beberapa pintu masjid ada disediakan plastik untuk meletakkan kasut anda. Kasut anda boleh disimpan di dalam beg dan dibawa merata-rata, atau ditinggalkan di rak-rak kasut yang tetdapat di tiang-tiang masjid. Sebenarnya lebih mudah sekiraya anda bawa kasut anda ke mana-mana, kerana anda mungkin akan keluar di pintu berbeza dengan pintu masuk, lebih-lebih lagi selepas mengerjakan umrah.

(7) Saya sendiri tidak mempunyai anak kecil, jadi saya tidak dapat memberikan apa-apa panduan. Yang saya nampak, kebanyakan ibu bapa mendukung anak ketika tawaf dan sa’ie, ataupun menolak mereka di atas kerusi roda. Kadangkala bapa menolak ibu yang mendukung anak di atas kerusi roda. Kereta sorong bayi mungkin tidak dibenarkan – saya nampak banyak juga yang ditinggalkan di tepi pintu masjid. Tidak ada yang marah sebab bawa anak kecil masuk ke masjid. Ramai bayi yang ditidurkan di atas permaidani masjid, ibunya solat seperti biasa. Ramai juga bapa yang membawa anak kecil solat bersama.

(8) Sebenarnya menara jam yang tinggi itu amat berguna untuk memandu kita tentang kedudukan kita di dalam masjid. Saya seringkali menggunakan jam tersebut sebagai pemandu arah sekiranya saya sudah banyak berjalan di dalam masjid. Ada juga cara-cara lain seperti melihat kedudukan pintu kita melalui bahagian-bahagian kaabah (seperti rukun Yamani, Hijr Ismail), tetapi kadangkala kita tertolak masuk oleh pengawal masjid atau orang ramai. Jadi jika ingin keluar dari masjid, menara jam tersebut sangat berguna.

Berikut adalah peta Masjidil Haram yang saya dapati di hotel tempat saya tinggal. Peta ini mungkin berubah dari masa ke masa, bergantung kepada perkembangan proses penambahan masjid oleh Kerajaan Arab Saudi.

Simbol untuk peta tingkat 1, Masjidil Haram
Simbol untuk peta Masjidil Haram, Ground floor
Peta Masjidil Haram, tingkat 1
Peta Masjidil Haram, Ground floor
Sekian dahulu panduan ringkas untuk Masjidil Haram. Saya pasti ada banyak lagi perkara yang boleh saya tambahkan, insyaaAllah saya akan update dari semasa ke semasa. 

Advertisements