Alhamdulillah, saya telah selamat menziarahi kota Madinah dan mengerjakan umrah di Masjidil Haram pada 16 hingga 24 Disember baru-baru ini. Ini adalah musim sejuk di Arab Saudi, maka cuaca di Madinah sejuk seperti musim bunga/panas di UK (dengan suhu dari 13 ke 22 darjah celcius), manakala cuaca di Makkah adalah seperti Malaysia (suhu dari 23 ke 31 darjah celcius). Memang agak selesa pada ketika ini berbanding dengan musim-musim lain.

Untuk waktu solat pula agak rapat antara satu sama lain. Subuh bermula kurang lebih jam 5.30am, syuruk 6.55am, zuhur 12.15pm, asar 3.15pm, maghrib 5.40pm, dan isya’ 7.08pm. Malamnya agak panjang.

Di sini saya ingin menuliskan beberapa panduan yang saya fikirkan berguna untuk bakal-bakal pengunjung kedua-dua tanah haram ini, dan saya mulakan dengan Masjidil Haram. Saya nasihatkan bahawa panduan ini harus disesuaikan dengan tempoh masa umrah, tempat tinggal dan keadaan anda sendiri. Saya juga ingin memohon maaf terlebih dahulu sekiranya terdapat kekurangan atau kesilapan dalam coretan saya kali ini.

Sesetengah informasi yang saya berikan sekarang mungkin tidak boleh digunakan pada masa hadapan kerana Masjidil Haram sedang dalam proses penambahan dan pengubahsuaian struktur, jadi ada sesetengah pintu dan jalan mungkin ditutup/dibuka maka laluan yang ada sekarang mungkin berbeza. 

Mengerjakan Umrah

(1) Saya pasti kebanyakan jemaah akan mendapat kursus umrah sebelum berangkat ke tanah suci. Sesibuk mana pun anda, pastikan anda mendapat maklumat dan panduan tentang syarat sah, wajib umrah dan pantang larang daripada orang yang lebih arif, terutamanya jika anda tidak pernah mengerjakan umrah atau haji sebelum ini.

(2) Bagi kaum wanita, lebih baik jika anda ulangkaji semula bab hukum-hakam berkenaan darah wanita. Ada kalanya timbul waswas, maka kita juga perlu belajar untuk menghindari masalah waswas tersebut. 

(3) Saya telah memuat-turun panduan umrah yang sangat asas dan amat mudah difahami daripada website berikut:

Panduan Umrah UniSZA

Panduan ini boleh dibawa ketika kursus umrah sekiranya travel agent anda tidak menyediakan buku.
(4) Ibu saya juga telah memberikan buku asas haji dan umrah terbitan tabung haji. Buku ini juga mengandungi banyak informasi tentang umrah dan haji, serta hukum-hukum dan ibadah lain yang berkaitan. Terdapat banyak gambar sebagai panduan. Tulisannya besar supaya mudah dibaca oleh sesiapa sahaja. Mungkin anda boleh pinjam daripada sesiapa yang telah mengerjakan haji.


(5) Tempat tawaf itu dinamakan mataaf atau mataf, manakala tempat sa’ie itu dinamakan masaa atau massa pada papan tanda. Ketika saya berada di sana, terdapat tiga tempat yang kita boleh mengerjakan tawaf dan tiga tingkat untuk mengerjakan sa’ie.

(6) Di sekeliling kaabah sendiri memang ramai yang mengerjakan tawaf, ada juga orang yang keluar masuk untuk mencium Hajarulaswad dan solat di Hijr Ismail. Memang keadaan sesak dan berhimpit-himpit, terutamanya antara waktu zohor hingga selepas maghrib. Waktu yang kurang sesak adalah waktu dhuha sehingga jam 10am, dan selepas waktu isyak. Walaupun kurang sesak tetapi sebenarnya masih ramai orang. 

Sekiranya anda orang muda atau tidak suka bersesak-sesak, boleh tawaf di tingkat satu. Tidak ramai orang dan jalan lebih laju. Waktu yang saya ambil untuk tawaf dekat dengan kaabah adalah 8 minit setiap pusingan, manakala di tingkat satu 10 minit setiap pusingan. Tempohnya memang tidak banyak berbeza tetapi jaraknya jauh juga, lebih kurang 3.5km keseluruhan. Bagi saya kurang stress di tingkat atas.

(7) Untuk sa’ie pula, ada tingkat basement, ground dan tingkat satu. Basement dan ground agak sesak tetapi tidak berhimpit-himpit, masih boleh berlari di bawah lampu hijau. Di ground floor anda boleh memijak batu-batu asal di Bukit Safa, dan boleh merasa memanjat bukit sedikit, manakala di tingkat satu, suasananya lapang dan rata sahaja.

Suasana sa’ie di tingkat satu:


(8) Selepas tawaf dan selepas sa’ie, mungkin anda akan merasa sakit di bahagian pinggang atau pangkal peha atau kaki, bergantung kepada cara anda berjalan. Ini disebabkan oleh lantai yang licin dan cara berjalan mungkin terubah dengan sendirinya. Salah satu cara mengelakkannya (bagi wanita) adalah memakai stokin yang bergetah di tapak kakinya. Pergerakan kaki anda menjadi lebih stabil.

Tetapi jika anda tidak memiliki stokin tersebut, atau pinggang/kaki tetap sakit, salah satu cara untuk melegakan sakit itu adalah sujud dengan tempoh yang lama. Sujud, insyaaAllah, dapat meredakan sakit-sakit di anggota badan selepas tawaf dan sa’ie. 

(9) Banyakkan minum air untuk mengganti peluh yang hilang dan menyegarkan diri. Minum air zamzam sebelum dan selepas tawaf (minum selepas tawaf itu sunnah), dan banyak juga tong air zamzam sepangjan jalan antara Bukit Safa dan Marwah.

(10) Untuk bertahallul, saya nasihatkan wanita membawa gunting kecil sendiri. Untuk lelaki pula, jika anda ingin mencukur kepala, tempatnya tidaklah terlalu dekat tetapi kadangkala ada ‘agent’ yang menunggu di luar Bukit Marwah. Harganya lebih kurang SR15.

Membawa Diri di Masjidil Haram

Masjidil Haram dipenuhi orang hampir setiap masa. Hari yang paling sesak adalah hari Jumaat kerana itu adalah hari cuti bagi Arab Saudi, maka ramai penduduk tempatan datang sama ada untuk mengerjakan umrah atau melakukan ibadah-ibadah lain. Jadi amat wajar untuk kita menjaga adab diri sendiri agar tidak menganiayai orang lain.

(1) Kurangkan berbual dan banyakkan beribadah. Pada kebanyakan tempat, orang banyak membaca Quran, solat ataupun berehat, tetapi ada juga yang berbual-bual dengan suara yang kuat (orang Melayu tidak terkecuali). Maka setelah berbelanja besar dan bersusah payah untuk ke Tanah Haram, pastikan anda menumpukan sepenuh masa untuk beribadah; di Malaysia pun boleh berbual. Bagi saya, suara orang dewasa yang berbual adalah lebih mengganggu berbanding suara bayi menangis di masjid.

(2) Jaga kebersihan. Banyak juga tong sampah disediakan, dan kalau tukang sapu lalu, boleh juga tumpang buang sampah dalam tong dia. Siram air secukupnya selepas buang air kerana tandasnya tidak ada flush.

(3) Sekiranya anda dapat solat di Hijr Ismail atau belakang Maqam Ibrahim, lakukan seringkas mungkin, terutamanya apabila jemaah terlalu ramai. Kita ada doa dan harapan, begitu juga dengan orang lain. Kalau mahukan waktu yang lebih lapang, pergi dalam waktu dhuha, insyaaAllah dapat duduk di mana-mana yang kita mahu.

(4) Berkongsi. Jika anda solat di atas lantai beralaskan sejadah (tidak semua orang dapat solat atas permaidani), kongsilah dengan orang sebelah yang mungkin tidak memiliki atau membawa sejadah. Kongsi air zamzam, buah tamar, atau makanan/minuman lain yang anda punyai. Tolong ambilkan air zamzam untuk orang tua yang berseorangan. Semua ini nampak kecil tapi kita tak tahu ganjarannya di sisi Allah SWT.

Bersambung di Bahagian 2:

Haramain: Beberapa Panduan (Bahagian 2 – Sambungan, Masjidil Haram)

Advertisements