Mahukah kamu, aku tunjukkan suatu tempat? 

Di sana ada 

Beratus juta pohon rendang

Tidak jemu mata memandang

Dari satu rimbunan ke satu rimbunan

Kita berjalan

Singgah menikmati buah-buahan

Yang enaknya cuma akan bertambah
Kaki melangkah 

Rumput hijau meliputi segenap permukaan

Tak pernah lelah kita dalam perjalanan

Marilah kamu aku tunjukkan

Taman-taman tempat bersuka ria

Teduhan yang redup lagi selesa

Tempat berehat, melayari masa

Juadah, minuman, semua tersedia

Senyuman di bibir

Terukir

Bahagia

Kerana sayang, aku kenalkan kamu

Suatu singgahsana mewah

Sungai-sungai mengalir di bawah

Tenang

Nyaman

Tiada luka di hati

Tiada dendam berapi

Yang ada itu hajat yang dipenuhi

Harapan yang pasti terjadi

Seperti yang dijanji

Ayuh kita simpankan

Syurga ketenangan di hati

Yang bermula seawal pagi

Saat mata yang lain tertutup lagi

Bangkitlah kita

Menarik nafas syukur, segar, aman

Memuji Pencipta alam semesta

Tunduk kepada kekuasaan-Nya

Memohon kepada keampunan-Nya

Meminta daripada kekayaan-Nya

Kekuatan-Nya

Hati akan tenang bagai di syurga

Hari mendatang terjanji bahagia

Segala pintu mudah terbuka

Jalan sukar dapat diduga

Kita bawa syurga itu 

Di atas dunia

Memancar senyuman kepada yang duka

Menghulur tangan kepada yang terluka

Memberi kata harapan penguat tenaga

Sejujur hati

Seikhlas jiwa

Mahukah kamu aku tunjukkan, suatu kehidupan?

Penuh ketenangan

Penuh pengharapan

Penuh keredhaan

Advertisements