Doktor dan jururawat bagai isi dengan kuku. Tak boleh dipisahkan.

* * *
“Doktor, cepat-cepatlah pass exam. Buat baik-baik. Nanti lagi ramai doktor pakar.”

“Takpelah, doktor, saya ni umur dah 37 baru kahwin, sekarang ni mengandung. Tengok macam akak yang tu, umur macam ni baru dapat anak satu. Jodoh, rezeki semuanya Allah dah tetapkan. Biarlah orang nak kata apa.”

“Doktor, tadi patient ni tachy. Saya check gula dia 3, saya dah bagi D50% 30mL. Sekarang gula dah ok, tak tachy lagi,” kata jururawat itu pada tengah malam.

“Doktor, ni donut, tadi anak patient tu bagi kita,” kata nurse itu. “Eh, belum makan ke?” tanya kami. “Kami tunggu doktor..” jawab mereka.

“Doktor, jangan risau. Yang itu kami buat. Doktor yang baik memang kami akan tolong. Doktor tinggal je. Pergi buat kerja lain.”

* * *
Kata sepupu saya, “respect betul dengan nurse. Diorang boleh pegang, cuci orang yg diorang tak sayang pun. Hebat.”

Saya katakan padanya, “Mereka ada perasaan sayang pada pesakit, walaupun baru jumpa. Memang tak macam mak ayah sendiri, tapi perasaan sayang mereka tetap ada.”
* * *
Siapalah doktor tanpa jururawat?

“Nurses are very obedient,” kata Dt Mary Cardosa.

Hampir 10 tahun saya berkhidmat.
Jururawatlah yang melaksanakan arahan doktor. Membancuh dan memberi ubat-ubatan, IV drip, menghantat pesakit ke tempat prosedur. Kalau kawasan khas seperti ICU, unit rawatan jantung, mereka juga mempunyai ilmu yang tinggi, selalunya lebih tinggi daripada doktor yg menjejakkan kaki pada hari-hari pertama di ward tersebut.

Ditambah pula dengan perkara-perkara tambahan seperti menyuapkan makan, menukar lampin, memandikan pesakit. Walaupun itu semua adalah tanggungjawab anak-anak/ahli keluarga pesakit tersebut, mereka lakukan juga atas rasa kasih terhadap manusia lain, terutama yang tidak terjaga oleh anak-anak.

Malangnya di negara ini, jururawat dibebankan dengan banyak paperwork yg sepatutnya dilakukan oleh administrator atau kerani. Kalau di negara maju, tugas-tugas paperwork ini semuanya dilakukan oleh kerani/pegawai lain.

Tugas jururawat sepatutnya hanya berkaitan dengan pesakit. Kertas kerja yang patut ada hanyalah vital signs dan report. Hal2 barang dalam ward, harta hospital, katil, langsir, CSSD juga, saya harap ditangani oleh pegawai lain.

Bagi saya pula, jururawat bukan hanya di samping pesakit.

Merekalah peneman kami di kala waktu malam on call, yang kadangkala sunyi, selalunya sibuk.
Merekelah teman bercakap, senyum, bergurau, agar hari-hari yang dilalui tidak begitu menekan.
Merekalah tempat meminta nasihat. Pengalaman mereka luas, mereka telah bekerja dengan pelbagai doktor pakar, belajar juga dengan mereka. Walaupun pakar-pakar itu sudah tiada, nasihat mereka disimpan oleh jururawat ini.
Merekalah mata dan telinga doktor, mereka berada di hadapan pesakit hampir sepenuh masa, memerhatikan mereka, mendengar keluhan mereka.

Dan personally, bagi saya, mereka juga tempat meluahkan perasaan, berbincang hal kehidupan, sama-sama menaikkan semangat dalam menempuh dugaan hidup.

Saya berharap benar, masyarakat akan lebih melayan jururawat dengan hormat. Memang ada jururawat yang mulut kurang baik, tangan kurang pantas bekerja, tapi janganlah kerana seorang, yang lain dipandang hina.
Saya harap masyarakat tidak menghamburkan kata-kata kesat di hadapan mereka, mahupun di media sosial.
Orang yang sakit mungkin lebih cepat marah, tetapi kami nampak, orang yang memang berbudi bahasa orangnya tetap akan menjaga akhlaknya walaupun dalam keadaan sakit.
Saya harap suami/isteri jururawat dapat memahami beban kerja mereka. Bukan mudah berhadapan dengan kerenah manusia.

Maafkan kami, para doktor yang kadangkala termarah, terbebel, dan macam-macam lagi.
Mari kita sama-sama tingkatkan kualiti kerja, tingkatkan kasih sayang sesama manusia.

Selamat hari jururawat.

Advertisements