“Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian.”

Saya telah bekerja selama hampir empat tahun di wad pesakit kanser tahap 4, yang mana hampir semuanya meninggal dunia dalam masa setahun. Saya telah berjumpa dengan sekurang-kurangnya 400 orang pesakit sepanjang bekerja di wad tersebut, dan kisah-kisah mereka di penghujung hayat telah banyak mengajar saya tentang erti kehidupan.

Memang kebanyakan doktor menyangka bahawa menguruskan pesakit-pesakit yang sudah hampir pasti akan meninggal dunia membuatkan doktor/jururawat sentiasa berasa sedih. Tetapi bagi kami, hidup kami lebih bermakna kerana kami memahami bahawa setiap saat di dunia ini amat berharga dan perlu disyukuri.

Kanser tahap 4 adalah waktu di mana seluruh keluarga harus bersatu. Inilah masanya untuk merapatkan kembali hubungan yang renggang atau terputus dalam keluarga.

Anak-anak perlu berusaha mengambil hati ibu bapa yang telah sakit. Walaupun mungkin ibu atau bapa telah melakukan sesuatu kesilapan pada masa lampau yg membuatkan anak tawar hati, harus diingat, hubungan itu kekal sehingga hari kemudian. Ibu tetap ibu, bapa tetap bapa. Walau apa pun caranya, anak-anak wajib berbaik dengan ibu bapa semasa hayat mereka.

Kanser tahap 4 adalah waktu yang tinggal untuk anak-anak meraih kasih sayang ibu bapa dan keredhaan Allah SWT. Inilah waktu yang tinggal untuk menyuapkan ibu bapa makan, memandikan mereka, mencuci najis dan menukarkan lampin, membantu mereka solat, bercakap yang baik-baik sambil memberi perangsang kepada mereka. Sekiranya ibu bapa yang sakit berada di hospital, belajarlah untuk menukar lampin mereka sendiri, memandikan mereka sendiri, bukan menunggu jururawat yang melakukan semuanya. Ya, mereka boleh membantu, tetapi tanggungjawab hakiki masih terletak di bahu anak-anak.

Kami telah menyaksikan terlalu ramai anak-anak merasakan penyesalan yang tidak mungkin berpenghujung. Mereka ini selalunya terdiri daripada golongan yang tidak pernah menjenguk ibu bapa semasa sihat, tidak pernah membantu ketika sakit, menyimpan dendam terhadap ibu bapa sendiri, tidak bercakap dengan baik kepada ibu bapa. Mereka akan datang pada saat-saat akhir, di mana ibu bapa tidak lagi mampu bercakap, mendengar atau membuka mata. Mereka akan memarahi adik-beradik lain, atau doktor/jururawat, menuduh yang bukan-bukan, sedangkan mereka tidak mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan ibu bapa ketika sihat.

Kanser tahap 4 juga adalah masa untuk adik-beradik berbaik-baik. Semuanya perlu mengambil giliran untuk menjaga ibu bapa yang sakit, bukan hanya meninggalkan tugas itu kepada surirumah atau yg tidak bekerja sepenuh masa.

Kami dapati, orang yang redha dengan pemergian ibu bapa adalah anak-anak yang sering berada di sisi ibu bapa semasa hayat mereka. Hidup mereka lebih tenang tanpa penyesalan.

Kanser tahap 4 juga adalah waktu yang paling penting untuk urusan surat-surat dan dokumen tentang harta. Semua harta seperti tanah dan rumah perlu dinamakan dengan tepat, dijelaskan nama pemiliknya, dikira hutangnya. Sesudah seseorang itu meninggal dunia, tidak ada lagi peluang untuk menjelaskan pemilikan tanah, nama siapa, siapa yang bayar. Memang ini hal duniawi tetapi terlalu banyak kes yang tidak selesai kerana ketiadaan rekod. Akhirnya ramai yang tidak mendapat hak, ramai juga yang makan hak orang lain. Semuanya akan ditanya di akhirat kelak.

Berbincang tentang harta peninggalan mungkin nampak seperti taboo, nampak tidak patut, tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Kematian itu sesuatu yang pasti, meskipun bukan kerana kanser. Pengurusan harta adalah sesuatu yang serius di sisi Allah, maka perlu diselesaikan dengan sebaiknya.

Kanser tahap 4 bukan masa untuk duduk di sisi ibu sambil mata menghadap smartphone. Bukan juga masa menonton TV. Masa untuk bekerja keras membahagiakan ibu dan bapa. Menunjukkan kasih sayang selagi mereka ada. Tatap wajah mereka. Simpan dalam ingatan. Bukan waktu selfie berderet-deret. Berapa ratus gambar pun tak akan sama dengan perasaan menatap mata ibu bapa yang penuh kasih sayang semasa mereka hidup.

Kanser tahap 4 adalah masa untuk keluarga, peluang untuk membuang yang keruh. Air dicincang tak akan putus. Allah telah memerintahkan manusia untuk berbakti kepada ibu bapa, Allah juga telah menjanjikan kebahagiaan kepada mereka yang menurut perintah-Nya dengan penuh kesabaran. Setelah menyaksikan beratus-ratus pesakit meninggalkan kami, beratus-ratus keluarga yang ditinggalkan, kami dapat melihat dengan mata sendiri bahawa janji Allah adalah sentiasa benar.

Ada juga persitiwa, yang mana ibu yang sakit tidak memaafkan anak, anak juga masih marahkan ibu. Ibu meninggal dunia bukan dalam keadaan tenang, anak yang ditinggalkan juga terus hidup dalam kemarahan.

Kanser tahap 4. Terlalu banyak pengajaran.

Dekatilah ibu bapa. Berbaiklah dengan mereka. Mungkin suatu masa dahulu mereka tersilap, mungkin tindakan mereka tidak rasional. Berbaiklah sebelum sesalan melanda. Meskipun mereka kelihatan masih marah, dekatilah mereka walau apa pun caranya. Dalan hati mereka pasti masih ada kasih sayang.

Hidup kita tidak panjang. Tidak perlu dendam, tidak perlu sesalan.

982ca-ingat2bmati

Advertisements