Pagi tadi kami telah mendengar sebuah kisah yang menyayat hati.

Seorang lelaki gelandangan berumur sekitar 60-an, masuk wad kerana penyakit darah tinggi yang tidak terkawal. Dia tidak mempunyai tempat tinggal tetap sejak empat tahun lalu. Katanya setelah bercerai dengan isteri, dia merempat di jalanan.

“Encik ada anak?”
“Ada. Lima orang.”
Kemudian dia menangis.
* * *
Bukan jarang-jarang kami melihat seorang bapa atau ibu menangis mengenangkan anak-anak mereka.

Tangisan pesakit yang merindui anak-anak mereka merupakan sesuatu yang sering kami saksikan, tetapi tidak pernah menjadikan kami lali melihatnya. Malahan tangisan itu membuatkan kami lebih berazam untuk berbakti sebaiknya kepada ibu bapa sendiri.

Tapi kali ini, kisah itu teramat menyentuh hati saya.

Kerana saya tidak dapat bayangkan, memiliki bumbung untuk berteduh, anak-anak untuk disayangi, namun pada masa yang sama, bapa saya merempat di jalanan, tidur hanya beralaskan kotak, meminta sedekah untuk sesuap nasi, saban hari mengenangkan anak-anak yang sudah dibesarkan.

Saya tidak dapat bayangkan.
Hati saya terasa amat sedih.

* * *
Ingin saya mengingatkan diri saya sendiri, dan kalian yang membaca kisah ini, bahawa bapa tetap bapa, walau apapun terjadi.

Saya tahu, ramai antara bapa kita pernah melakukan kesilapan. Kecil atau besar, terhadap ibu kita sendiri, terhadap diri kita, pasangan kita, ataupun kesalahan jenayah.

Walau apapun kesilapan tersebut, kita tak akan dapat nafikan, sampai ke akhirat kelak, bahawa insan itu tetap bapa kita, darah daging kita. Insan yang darahnya mengalir dalam diri kita, sifatnya terbit dalam diri kita. Paling kurang pun, dialah sebahagian daripada sebab kita hidup di bumi ini.

Bapa kitalah yang menghantar kita ke sekolah, mencari nafkah dengan penat lelah, membawa kita ke klinik seandainya kita sakit, menunaikan permintaan kita walaupun dia mungkin tidak mampu.

Mungkin dulu dia seorang yang bertanggungjawab tapi kini dia tewas dengan nafsu.
Mungkin dulu dia tewas dengan nafsu tetapi kini dia telah insaf.

Siapa lagi yang patut jaga bapa kita kalau bukan kita sendiri?

Mungkin kesilapan dia sangat besar. Mungkin kita sukar menerimanya. Tapi kita tak tahu, mungkin suatu hari nanti kita akan melakukan kesilapan yang jauh lebih besar, dan mengharapkan anak-anak kita memaafkan dan menerima kita kembali.

Orang yang telah tersasar itulah yang memerlukan lebih kasih sayang.
Orang yang sesat itulah yang perlu ditarik kembali dengan penuh kelembutan.
Orang yang berada dalam kegelapan itulah yang perlu melihat bahawa dalam hidup ini masih ada cahaya.

Setiap usaha kita untuk berbakti kepada mereka amatlah berharga, walaupun mungkin mereka tidak pandai untuk menunjukkan penghargaan itu. Setiap usaha kita pasti akan diiktiraf oleh Allah SWT.

Jadilah cahaya dalam hidup ibu bapa kita.
Kalau bukan kita, siapa lagi yang mereka ada?

Dapatkah anda bayangkan, bapa anda sendiri merempat di jalanan? Sedangkan anda memiliki rumah untuk berteduh dan anak-anak untuk disayangi?

* * *
Untuk anak-anak, hilangkanlah dendam anda terhadap bapa anda. Dendam itu hanya akan membawa penyesalan di dunia, dan penyiksaan di akhirat kelak.

Untuk menantu-menantu lelaki, ingatlah bahawa bapa isteri anda adalah bapa anda sendiri. Anda bertanggungjawab ke atas kebajikan kedua-dua ibu bapa anda dan ibu bapa isteri anda.

* * *
Ganjaran berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah amat besar di sisi Allah. Kesukarannya bukan sekadar dalam menjaga mereka yang sakit. Kesulitan berbakti kepada ibu bapa yang berumur juga termasuklah dalam bersabar dengan kerenah mereka, memaafkan kesilapan mereka, menerima mereka dalam apa keadaan sekalipun, dan mengekalkan hubungan dengan mereka.

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

Janganlah kalian membenci bapa kalian. Barang siapa yang membenci bapanya, maka itu adalah kekafiran.

  – Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Advertisements