Wah wah wah…nampaknya sudah mula ada suara-suara sumbang yang menuduh bahawa industri kelapa sawit telah menyebabkan pembalakan berleluasa dan seterusnya menyebabkan banjir besar di negeri Cik Siti Wan Kembang. “Membuat kerosakan di bumi Allah” katanya.

Tapi sudah terlalu banyak tuduhan-tuduhan lain, jadi tak perlulah saya bercerita panjang lebar di sini. Lagipun apalah gunanya menuding jari sedangkan ramai saudara kita sedang memerlukan bantuan.

Maka sebagai seorang doktor, hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengajak dan mencabar rakyat Malaysia supaya berhenti terus daripada makan makanan bergoreng.

Boleh?

* * *
Tak kiralah goreng dengan minyak kelapa sawit atau “minyak sayuran” yang lain. Sebab yang dikatakan minyak sayuran itupun kebanyakannya minyak sawit juga. Dan kalau gunakan minyak daripada tumbuhan lain, dari negara lain, mereka terpaksa menebang hutan mereka untuk mendapatkan sayuran tersebut. Sama juga kesannya pada dunia.

* * *
Saban hari saya menjaga dan merawat pesakit-pesakit yang menderita akibat penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, sakit jantung dan kegemukan (ye, kegemukan juga adalah suatu penyakit, kami panggil “obesity”). Setiap hari saya berjumpa mereka yang beratnya 90kg, 100kg, 110kg, malahan 140kg pun ada. Bukan seorang dua.

Saban hari jugalah saya bertanya, sarapan pagi makan apa? Tengahari makan apa? Malam makan apa? Sebelum tidur makan apa?

Jawapan biasa:
“Sarapan saya selalu makan mihun atau mi atau koey teow.” Saya tanya balik, “Masak apa?” “Oh. Goreng.” “Minum apa?” Kemudian sang isteri akan mencelah, “Doktor, dia ni teh tarik dia tak boleh tinggal!” dengan muka berkerut.

“Tengahari makan nasi la. Dengan sayur, lepas tu ayam atau ikan.” Saya tanya lagi, “Ikan atau ayam tu masak macam mana?” Jawapan mereka, “goreng, kari, asam pedas atau sambal.”

“Minum petang, puan?” “Tengoklah. Karipap ke, goreng pisang ke, kalau tak pun kuih lapis.”

Standard menu kebanyakan rakyat Malaysia.

Alasan yang diberi biasanya:

“Saya sibuk, makan mesti kat kedai. Kedai mana ada jual bakar-bakar atau kukus ni.”

“…tapi selalunya saya order kurang manis, doktor..”

“Laparlah petang-petang..mana boleh tak makan..mesti nak makan sesuatu. Karipap sebiji pun jadilah.”

“Saya mana ada duit nak beli ikan untuk kukus. Ikan-ikan tu mahal. Ikan yang saya mampu cuma sedap digoreng saja.”

“Saya dah cuba masak yang sihat, tapi suami saya taknak makan.” Sedangkan suami inilah yang berat badannya 140kg. Aduhai…

“Tak goreng tak sedap la doktor…!”

Lihatlah menu makanan kita seharian. Mana yang tak goreng? Mihun goreng, nasi goreng, ayam goreng, ikan goreng. Karipap, popia, cakoay semuanya goreng. Asam pedas, kari, gulai sebarang jenis, sayur-sayuran semuanya kena tumis dengan minyak. Bahkan masak sup pun kena tumis bawang dan rempah. Roti canai, roti telur, roti sardin, murtabak semuanya digoreng atas kuali yang berminyak. Kalau pasar Ramadhan tu, hampir semua gerai ada kuali yang mengandungi minyak untuk menggoreng sesuatu.

Belum cerita lagi makanan lain seperti Milo, Sardin, susu pekat yang mengandungi minyak sawit. Maka teh tarik kesayangan dan kebanggaan rakyat Malaysia pun hasil daripada minyak sawit.

Kesimpulan saya: RAKYAT MALAYSIA MEMANG BERGANTUNG DENGAN MINYAK SAWIT.

Jadi kalau kita semua, seluruh negara, bergantung kepada minyak sawit, kenapa terlalu menghina pengusaha kelapa sawit? Kenapa macam-macam caci maki diberikan kepada pembesar-pembesar Kelantan?

Ok. Lupakan tentang pembesar Kelantan. Kita balik kepada topik berhenti makanan bergoreng.

Saya bukan pakar ekonomi, saya tidak berniaga, tapi setahu saya, prinsip asas dalam perniagaan adalah “jika tiada permintaan, tiadalah pembekal.” Kalau tak ada orang makan sirip ikan jerung, tak adalah yang menjual. Masa orang boikot Milo dulu, banyak kedai jual Vico sahaja. Kalau ramai orang beli telekung lycra, maka makin ramailah orang yang berani jual telekung yang begitu.

Maka memandangkan begitu banyak penggunaan minyak kelapa sawit di kalangan rakyat Malaysia, pengusaha kelapa sawit pun berani meluaskan ladang-ladang mereka.

Bayangkan kalau daripada dahulu lagi orang kita cuma makan yang rebus dan bakar, mungkin syarikat-syarikat besar tak akan mengambil risiko menanam lebih banyak pokok kelapa sawit. Pasti mereka akan mengusahakan perniagaan lain.

Lagi alasan yang biasa didengar, “Orang jual, saya belilah.”
Goreng pisang, koay teow basah, teh tarik, rokok..sama saja.

Kita kena ada kekuatan diri untuk melakukan perkara yang baik, dan menolak sesuatu yang tidak baik untuk diri kita. Kalau yang itu sedikit pun kita tak mampu lawan, apakah hak kita untuk mengherdik “kerakusan” syarikat-syarikat perladangan meluaskan perniagaan mereka?

Kalau kita pun merosakkan diri dengan makanan yang membawa mudarat, kenapa dicaci orang lain yang “membuat kerosakan di muka bumi”? Sedangkan puncanya sama saja: tamak haloba.

Maka dengan ini sekali lagi saya ingin menyeru, dan mencabar, rakyat Malaysia untuk berhenti terus daripada makan makanan bergoreng. Tak kiralah minyak apa pun.

Boleh buat?

IMG_1702-1.JPG

Advertisements