Pabila mendung awan kelabu,
Turunlah hujan guruh mendatang;
Pabila gandum disulam tebu,
Itulah manisan untuk dihidang.

Tubuh layu hatiku gundah,
Tidak berdaya mendendang inang;
Buah nyiur diparut sudah,
Tinggal ditambah si batang pinang.

Bahtera sultan menongkah lalu,
Zapin dan joget jadi hiburan;
Sutera nian dialun bayu,
Sampin songket tenunan menawan.

Halus bisikan hiasi malam,
Pungguk bimbang kasihnya ke mana;
Manis senyuman mewangi alam,
Umpama bintang meneman purnama.

Lamunan bercambah terhabis masa,
Saat berharga yang dilepaskan;
Ampunan didamba dari Yang Esa,
Segala khilaf dimaaf insan.

Mawar di laman, melata dahlia,
Begitu sifat hutan seribu;
Biar aman serata dunia,
Itulah hajat di dalam kalbu.

Kiambang tasik tidak berpaut,
Bunganya merah menghias titi;
Andainya kasih bisa bertaut,
Cukuplah sudah hasrat di hati.

Hati ceria di Aidilfitri,
Senyum berseri bila bersua;
Hari raya berlalu pergi,
Hidup ini teruskan jua.

20140729-233335-84815944.jpg

Advertisements