Kita semakin menghampiri penghujung Ramadhan, dan tidak lama lagi, ramai di kalangan kita akan bergerak pulang ke kampung atau bercuti, tidak kira bangsa atau agama.

Saya ingin memberi sedikit pesanan berkenaan kesihatan, saya harap dapat memberi sedikit panduan pada masa cuti begini.

Kepada mereka yang tidak mempunyai apa-apa masalah penyakit, masih muda, dan datang dari kawasan yang banyak kes denggi (pernah ada aktiviti “fogging”, atau ada jiran yang pernah menghidap denggi), tolong pergi ke hospital atau klinik berdekatan sekiranya anda demam selama 3 hari atau lebih.

(Mereka yang mempunyai masalah penyakit atau tidak begitu muda juga perlu ke hospital untuk pemeriksaan sekiranya demam melebihi 3 hari. Pesanan ini saya tujukan khas kepada orang muda kerana selalunya orang muda lebih lambat dibawa ke hospital berbanding dengan orang yang mempunyai penyakit lain/sudah tua)

Denggi adalah jangkitan penyakit yang berpotensi untuk menjadi merbahaya dan boleh membawa maut. Tanda-tanda bahaya adalah seperti muntah-muntah, sakit perut, cirit-birit, pendarahan, pening kepala atau berasa terlampau letih.

Selalunya pesakit denggi memerlukan banyak air, dan sesetengah pesakit perlu dimasukkan ke hospital supaya jumlah air dapat diberi dengan seimbang (tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit).

Denggi selalunya membawa maut sekiranya pesakit telah terlalu kering, dan keadaan boleh merosot dengan begitu pantas. Sekiranya seseorang pesakit hanya datang ke hospital pada peringkat yang tenat, kemungkinan untuk menyelamatkan nyawanya adalah lebih tipis.

* * *

Untuk mereka yang mempunyai penyakit yang berpanjangan (kronik) seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, sawan, masalah thyroid dan sebagainya:

1. Bawa ubat-ubat anda ke mana sahaja anda pergi. Lebih baik jika diletakkan dalam bungkusan asal. Sekiranya ada senarai ubat yang boleh dibawa ke mana-mana, itu lebih baik.
Ini kerana, seandainya sesuatu yang tidak baik berlaku dan anda terpaksa tinggal di hospital, para doktor boleh merujuk senarai ubat-ubatan anda.

(Kami, doktor, akui bahawa kami tidak dapat cam semua ubat-ubat anda sekiranya diletakkan dalam bekas plastik sahaja, kerana terlalu banyak ubat “putih, bulat, kecil” dan sebagainya yang terdapat dalam bidang perubatan).

2. Bawa bekalan berlebihan. Jika anda merancang untukk bercuti selama seminggu, bawa bekalan untuk sekurang-kurangnya dua minggu.

3. Ambil tahu tentang penyakit anda. Pesanan ini bukan khas untuk hari raya/musim cuti tetapi juga pada waktu biasa. Sekurang-kurangnya tahu apa nama pemyakit anda, nama pembedahan yang telah anda lalui sebelum ini. Jika anda tidak dapat menyebut penyakit tersebut, anda boleh minta doktor anda menuliskannya untuk anda.

Hal ini akan memudahkan rawatan anda, sekiranya anda terpaksa dikejarkan ke hospital, kerana sesetengah ubat tidak boleh diberikan untuk sesetengah penyakit.

4. Untuk mereka yang perlu mengawal pemakanan, seperti pesakit kencing manis, sila pastikan anda tidak makan menurut nafsu. Memang musim perayaan adalah musim yang paling mencabar, tetapi anda perlu berpada-pada. Makan dengan bilangan yang terkawal dan seboleh-bolehnya mengikut waktu.

Kepada tuan rumah yang menghidang makanan, saya ingin menasihatkan supaya anda tidak kecil hati atau merajuk sekiranya tetamu anda menolak untuk makan hidangan anda atau tidak menambah lauk, kerana mereka ingin cuba menjaga kesihatan mereka. Hormati keperluan mereka.

5. Kepada mereka yang perlu mengawal jumlah air yang anda boleh minum dalam sehari, sila patuhi kawalan itu. Anda sendiri boleh mengukur dan tahu berapa banyak yang anda boleh minum. Saya pasti anda tidak mahu menghabiskan masa di hospital pada musim perayaan ini.

6. Apabila pesakit sampai kepada kami, kami akan pastikan segala masalah diselesaikan, atau sekurang-kurangnya memberi kelegaan. Langkah-langkah yang kami akan ambil termasuklah menahan anda di wad untuk beberapa hari, sehingga anda sembuh. Ataupun mungkin anda memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi. Jadi seandainya anda telahpun dikejarkan ke hospital, anda perlu bersedia untuk dimasukkan ke ward (walaupun itu tidak semestinya).

* * *

Kepada mereka yang memandu, tolong pandu berhati-hati. Malang tidak berbau.
Seandainya anda terlibat dalam kemalangan jalan raya, anda mungkin bertemu maut.
Lebih teruk sekiranya anda mendapat kecederaan kekal, contohnya lumpuh separuh badan, lumpuh satu badan, mendapat kecacatan otak menyebabkan anda berganting kepada orang lain secara sepenuhnya, kaki terpaksa dipotong, tangan terpaksa dipotong, kehilangan bahagian dalaman yang berharga seperti mata, buah pinggang atau limpa, dan banyak lagi kecacatan lain.
Saya pasti anda tidak mahu hidup dalam kecacatan, lebih-lebih lagi apabila anda telah dilahirkan sempurna oleh ibu anda.
Dan saya pasti anda tidak mahu membunuh sesiapa dengan pemanduan yang tidak bertanggungjawab.

* * *

Semoga kita semua dapat melalui musim percutian dengan keadaan sihat dan bahagia.

20140724-124507-45907120.jpg

Advertisements